Work & Career

Cabaran ADHD Dewasa

Ramai menyangka ADHD hanya boleh dikesan semasa kanak-kanak. Akibatnya, ramai individu dewasa tidak mendapatkan diagnosis walaupun mengalami simptom yang jelas mengganggu kehidupan harian.

Ramai individu ADHD dewasa terlepas diagnosis ketika kecil kerana simptom mereka lebih terkawal dengan bimbingan keluarga dan persekitaran yang berstruktur. Simptom ADHD hanya dikesan apabila ia mula mengganggu kefungsian hidup di alam dewasa. Justeru, penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat daripada pakar psikologi atau psikiatri.

Cabaran alam pekerjaan

Bayangkan seorang individu ADHD yang baru mendapat kenaikan pangkat. Jawatan baru itu memerlukannya mengetuai satu pasukan. Tekanan mula muncul apabila perlu mengenali orang baru, membahagikan kerja, menyerahkan laporan, dan memastikan projek siap mengikut masa. Tekanan sebegini boleh menyebabkan individu ADHD berasa cemas dan resah, malah kadangkala mengalami serangan panik.

Peristiwa tertentu di alam dewasa membuatkan individu ADHD berasa tidak dapat berfungsi dengan baik, dan prestasi kerja merosot. Pada waktu inilah ramai mula mencari pertolongan. Keadaan ini juga menyebabkan ramai individu ADHD dewasa didiagnosis dengan anxiety dan depresi sebelum ADHD dikenal pasti.

Cabaran dalam keluarga

Kadangkala ahli keluarga sendiri tidak memahami, walaupun individu ADHD cuba menerangkan berkali-kali. Ini kerana kurangnya pendedahan tentang ADHD. Akibatnya, individu ADHD terkesan kerana dianggap mengada-ngada atau mahukan perhatian.

Sebagai contoh, jika seseorang terlupa tarikh penting seperti hari jadi pasangan, pasangannya mungkin berkecil hati dan berasa tidak dihargai. Maklumat itu mungkin terasa remeh pada minda individu ADHD, tetapi besar maknanya kepada pasangan.

Keluarga boleh berperanan sebagai sokongan utama. Individu ADHD dewasa kadangkala perlu diingatkan berkali-kali. Jika keluarga atau pasangan tidak memahami, individu ADHD boleh menjadi lebih tertekan, dan hubungan kekeluargaan boleh menjadi tegang akibat salah faham.

Cabaran kewangan

Salah satu gejala ADHD ialah impulsif. Pembelian impulsif sering berlaku, dan membeli barang yang tidak diperlukan boleh menjejaskan kewangan. Jika tidak terkawal, individu ADHD berisiko terbelenggu dengan hutang.

Sesetengah individu ADHD juga cenderung memberi pinjam wang apabila diminta, kemudian terlupa untuk mendapatkannya semula. Ini menjadikan mereka mudah diambil kesempatan. Apabila berterusan, keadaan ini menyukarkan pengurusan perbelanjaan dan perancangan kewangan masa depan.

Cabaran sosial

Sesetengah individu ADHD sukar berinteraksi dengan lancar. Ada yang lambat memproses perbualan, dan ada yang kerap mencelah ketika orang bercakap. Akibatnya mereka dilabel pendiam, lembab, atau suka menyampuk, dan kadangkala dianggap pelik. Stigma ini membuatkan mereka kurang selesa berada dalam kelompok ramai.

Sejak kecil, sesetengah individu sukar berinteraksi dan membesar tanpa ramai kawan. Petanda ini jarang diambil serius kerana sering disangka sebagai personaliti introvert. Jika dibiarkan, kesukaran interaksi sosial boleh menjejaskan keyakinan diri.

Kesimpulan

Cabaran ADHD dewasa boleh menjadi berat apabila melibatkan aktiviti harian. Untuk jangka panjang, gejala yang tidak diuruskan dengan baik boleh membebankan kehidupan. Diagnosis penting untuk mencari punca, memahami diri, dan mempelajari cara mengurus gejala. Sokongan keluarga dan rakan amat berharga untuk mengharungi cabaran ini.

Jika anda mengenali diri anda dalam cabaran di atas, mulakan dengan saringan ADHD percuma kami, atau cari pakar melalui direktori klinik kami.

Rujukan

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.