Relationships

Sokongan untuk Individu ADHD Dewasa

Apabila mengetahui ada kenalan atau ahli keluarga dengan ADHD, kita kadangkala hilang punca dan tidak tahu bagaimana mahu membantu. Salah satu perkara yang paling diperlukan adalah sokongan. Dalam perkongsian kali ini, mari kita lihat jenis-jenis sokongan untuk individu ADHD dewasa.

Setelah mendapat diagnosis

Menelusuri kehidupan sebagai individu dengan ADHD merupakan satu perjalanan yang berliku, terutamanya bagi mereka yang baru didiagnosis ketika dewasa. Kelainan pada diri yang dirasai selama ini akhirnya terjawab.

Cara pemikiran mereka yang berbeza sering menyebabkan mereka rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Apabila diluahkan kepada orang lain, kadangkala tiada siapa yang benar-benar memahami, dan ini menimbulkan masalah keyakinan diri.

Setelah mendapat diagnosis, keadaan mereka tidak serta-merta menjadi lebih mudah. Cabaran mengendalikan kehidupan tetap wujud, cuma kini mereka sudah memahami punca yang menjadikan pemikiran mereka berbeza. Pemahaman inilah titik permulaan kepada strategi yang lebih berkesan.

Sokongan orang sekeliling

Selain rawatan, individu dengan ADHD memerlukan sokongan daripada orang di sekeliling mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. Jika ahli keluarga atau kawan rapat anda mempunyai ADHD, jadilah pendengar yang baik. Walaupun kita tidak dapat sepenuhnya memahami perasaan mereka, kita boleh membantu mengubah perspektif mereka.

Individu dengan ADHD kadangkala terlalu memberi tumpuan kepada perkara negatif sehingga terlepas pandang perkara positif. Sebagai contoh, selepas membuat pembentangan yang mendapat tepukan gemuruh daripada hampir semua hadirin, mereka mungkin hanya fokus pada satu komen negatif dan membuat kesimpulan bahawa pembentangan mereka gagal.

Di sinilah peranan kita untuk membetulkan perspektif mereka dan membantu mereka menilai dari sudut yang lebih positif. Kita boleh mengingatkan mereka bahawa ramai yang menghargai usaha mereka. Bagi kebanyakan orang perkara ini nampak biasa, tetapi bagi individu dengan ADHD, ini cabaran harian yang berada di luar kawalan mereka. Masalah keyakinan diri boleh timbul walaupun mereka sudah mencapai banyak kejayaan.

Sokongan komuniti ADHD

Selain keluarga dan rakan, komuniti ADHD juga merupakan sumber sokongan yang sangat baik. Berada dalam komuniti yang berkongsi keadaan neurologi yang sama menjadikan individu dengan ADHD lebih mudah memahami satu sama lain.

Walaupun simptom setiap orang berbeza, mereka sering menemui persamaan dalam cabaran kehidupan harian. Dalam komuniti ini, mereka boleh menjadi diri sendiri, berasa selamat untuk berkongsi cerita, dan belajar strategi daripada individu ADHD lain untuk mengatasi cabaran yang dihadapi.

Sokongan lain

Sebahagian individu dengan ADHD mendapati ketenangan melalui memelihara haiwan. Walaupun tiada bukti saintifik yang kukuh bahawa haiwan peliharaan membantu ADHD secara langsung, ramai orang mendapat ketenangan daripadanya. Ikatan dengan haiwan kesayangan boleh menjadi sumber keselesaan.

Selain itu, menghargai keindahan alam, berdamai dengan masa lalu, dan melakukan aktiviti kerohanian boleh menjadi terapi yang bermakna. Perkara-perkara ini membantu individu dengan ADHD membina imej positif terhadap diri sendiri. Apabila mereka berasa positif tentang diri, mereka juga cenderung berasa positif tentang kehidupan.

Kesimpulan

Mempunyai ADHD bukanlah satu kekurangan diri. Aktiviti seharian mungkin lebih mencabar berbanding orang lain, tetapi dengan strategi pengurusan yang baik dan sokongan yang betul, individu dengan ADHD berpotensi besar untuk berjaya dalam kehidupan mengikut cara mereka yang tersendiri.

Jika anda atau orang yang anda sayangi sedang mencari permulaan, direktori klinik kami boleh membantu anda mencari pakar di seluruh Malaysia.

Rujukan

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.