Diagnosis Journey

Bahaya Self-Diagnosis Tanpa Diagnosis Klinikal

Self-diagnosis boleh menjadi satu langkah permulaan yang baik. Ia boleh membantu seseorang mengenal pasti kemungkinan simptom ADHD, meningkatkan kesedaran diri, serta memberi keyakinan untuk mendapatkan penilaian daripada pakar.

Walau bagaimanapun, self-diagnosis tidak boleh menggantikan diagnosis klinikal. Seseorang tidak seharusnya berhenti setakat membuat self-diagnosis tanpa mendapatkan penilaian profesional. Tanpa diagnosis klinikal, seseorang berisiko tersalah tafsir simptom, terlepas diagnosis lain yang lebih tepat, atau tidak menerima rawatan yang diperlukan.

Memahami Maksud Self-Diagnosis dan Simptom ADHD

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut tentang bahaya self-diagnosis, kita perlu terlebih dahulu memahami apakah yang dimaksudkan dengan simptom ADHD dan apakah yang dimaksudkan dengan self-diagnosis.

ADHD ialah satu gangguan perkembangan saraf yang ditakrifkan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dalam DSM-5. Diagnosis klinikal hendaklah dibuat oleh pakar psikiatri yang bertauliah melalui proses penilaian yang menyeluruh, termasuk sejarah perkembangan, simptom, tahap kefungsian, serta kemungkinan diagnosis lain yang mempunyai simptom yang hampir sama.

Tujuan mendapatkan diagnosis klinikal bukan sekadar untuk mengetahui sama ada seseorang mempunyai ADHD atau tidak, tetapi juga untuk membolehkan individu menerima rawatan dan sokongan yang bersesuaian. Ini termasuk rawatan ubat-ubatan, terapi psikologi, kaunseling, intervensi psikososial, serta kemudahan dan accommodation yang berkaitan, seperti permohonan Kad OKU bagi individu yang memenuhi syarat.

Simptom ADHD hanyalah tanda atau ciri yang mungkin dialami oleh seseorang. Walau bagaimanapun, kehadiran beberapa simptom sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan seseorang menghidap ADHD. Diagnosis ADHD memerlukan penilaian klinikal yang menyeluruh, termasuk sejarah perkembangan sejak zaman kanak-kanak, bukti bahawa simptom menyebabkan gangguan fungsi (functional impairment), serta penyingkiran kemungkinan gangguan lain yang mempunyai simptom yang serupa.

Selain itu, penting juga untuk membezakan antara self-diagnosis dan self-treatment.

Self-diagnosis ialah apabila seseorang membuat andaian bahawa dirinya menghidap ADHD tanpa penilaian klinikal yang lengkap.

Self-treatment pula ialah tindakan merawat diri sendiri berdasarkan andaian tersebut, sama ada melalui penggunaan ubat, makanan tambahan, kaedah alternatif atau perubahan gaya hidup tanpa nasihat dan pemantauan daripada profesional kesihatan.

Kedua-duanya mempunyai risiko tersendiri, namun self-treatment boleh membawa risiko yang lebih besar sekiranya diagnosis asal adalah tidak tepat.

Bahaya Self-Diagnosis: Apabila Diagnosis yang Dibuat Sendiri Adalah Salah

Apabila kita bercakap tentang ADHD tanpa asas ilmu, data, kajian dan maklumat yang tepat, apatah lagi bersumberkan khabar angin (hearsay), andaian (conjecture), mitos dan fiksyen, maka lahirlah pelbagai kenyataan yang janggal, tidak munasabah dan tidak berasaskan bukti. Keadaan ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menyebabkan salah faham terhadap ADHD, menggalakkan self-diagnosis, serta menghalang individu yang benar-benar memerlukan bantuan daripada mendapatkan penilaian dan rawatan yang sewajarnya.

Bahaya dan kesan buruk self-diagnosis boleh difahami melalui dua situasi yang berbeza.

Situasi Pertama: Apabila Self-Diagnosis Itu Tidak Tepat

Ramai individu mengenal pasti diri mereka sebagai mempunyai ADHD hanya kerana menemui beberapa simptom yang sepadan melalui media sosial, artikel di internet atau ujian saringan kendiri. Namun, simptom yang menyerupai ADHD juga boleh berlaku dalam pelbagai keadaan lain. Oleh itu, kehadiran simptom semata-mata tidak mencukupi untuk mengesahkan seseorang menghidap ADHD.

Sebagai contoh, kajian pembangunan skala saringan ASRS untuk DSM-5 oleh Ustun dan rakan-rakan (2017) mendapati nilai ramalan positif skala tersebut ialah sekitar 67 peratus. Ini bermakna hanya sekitar 7 daripada 10 individu yang memperoleh skor positif dalam Adult ADHD Self-Report Scale (ASRS) akhirnya memenuhi kriteria diagnosis ADHD selepas menjalani penilaian klinikal yang lengkap. Ini menunjukkan bahawa ujian saringan bukanlah alat diagnosis, sebaliknya hanya berfungsi untuk mengenal pasti individu yang mungkin memerlukan penilaian lanjut.

Oleh itu, apabila seseorang berhenti setakat self-diagnosis tanpa mendapatkan penilaian klinikal, risiko salah diagnosis menjadi lebih tinggi. Akibatnya, individu tersebut mungkin mempercayai bahawa dirinya menghidap ADHD sedangkan punca sebenar simptom adalah keadaan lain, atau mungkin tidak memenuhi kriteria diagnostik ADHD mengikut DSM-5.

Keadaan ini akhirnya menyumbang kepada penyebaran maklumat yang tidak tepat (misinformation) dalam masyarakat. Pengalaman yang sebenarnya bukan ADHD mula dikongsikan sebagai pengalaman ADHD, lalu masyarakat semakin sukar membezakan antara simptom biasa, gangguan lain dan ADHD yang sebenar. Akhirnya, kefahaman awam menjadi semakin kabur dan kepentingan mendapatkan diagnosis klinikal daripada pakar semakin dipandang ringan.

Situasi Kedua: Apabila Self-Diagnosis Itu Tepat Tetapi Terhenti Tanpa Diagnosis Klinikal

Situasi kedua ialah apabila self-diagnosis yang dibuat oleh seseorang individu itu mungkin benar, iaitu individu tersebut sememangnya mempunyai ADHD. Namun, proses tersebut terhenti setakat pengenalpastian kendiri tanpa diteruskan kepada diagnosis klinikal oleh pakar.

Walaupun andaian tersebut mungkin tepat, keadaan ini masih boleh membawa risiko dan bahaya yang tersendiri. Malah, dalam sesetengah keadaan, ia mungkin lebih merugikan kerana individu yang benar-benar mempunyai ADHD mungkin tidak mendapatkan bantuan, rawatan dan sokongan yang diperlukan.

Perlu difahami bahawa diagnosis klinikal bukan sekadar pengesahan label ADHD. Ia merupakan pintu masuk kepada proses rawatan dan pengurusan yang lebih menyeluruh, termasuk penilaian tahap gangguan fungsi (functional impairment), mengenal pasti keperluan individu, merancang intervensi, mendapatkan rawatan yang bersesuaian, serta mengakses sokongan atau accommodation yang diperlukan.

Apabila seseorang berhenti pada tahap self-diagnosis, beberapa perkara penting mungkin terlepas pandang. Individu tersebut mungkin tidak mengetahui tahap sebenar cabaran yang dihadapi, tidak mendapat strategi pengurusan yang sesuai, tidak menerima rawatan yang berasaskan bukti, atau tidak mendapat sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan kualiti hidup.

Bahagian ini merupakan satu pandangan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian peribadi, bukan satu kesimpulan yang menggantikan bukti kajian. Namun, pengalaman menunjukkan bahawa mengenali kemungkinan ADHD hanyalah langkah permulaan. Langkah yang lebih penting ialah mendapatkan penilaian klinikal yang tepat supaya seseorang individu dapat memahami dirinya dengan lebih baik dan menerima bantuan yang sesuai.

Oleh itu, walaupun self-diagnosis yang tepat mungkin menjadi titik permulaan kepada kesedaran diri, ia tidak sepatutnya menjadi titik akhir. Kesedaran perlu disusuli dengan pengesahan klinikal, rawatan dan sokongan yang sewajarnya.

Kesimpulan

Self-diagnosis tidak wajar dihebahkan atau diwar-warkan di ruang awam seolah-olah ia merupakan satu diagnosis yang telah disahkan. Ini sangatlah tidak bertanggungjawab kerana dakwaan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat, menyumbang kepada penyebaran maklumat yang tidak tepat, serta mengurangkan kefahaman orang ramai tentang kepentingan diagnosis klinikal yang dibuat oleh pakar.

Jika anda mengesyaki diri anda mempunyai ADHD, mulakan dengan saringan ASRS, kemudian dapatkan penilaian klinikal daripada pakar. Panduan mengenai kos dan tempat diagnosis ADHD di Malaysia boleh membantu anda merancang langkah seterusnya.