Diagnosis Journey

Diagnosis ADHD di Usia Bawah Enam Tahun (Prasekolah)

ADHD ialah gangguan perkembangan saraf (neurodevelopmental disorder) yang telah lama diiktiraf dalam bidang perubatan. Seawal tahun 1845, Heinrich Hoffmann, seorang doktor dari Jerman, telah menggambarkan tingkah laku menyerupai ADHD menerusi watak Zappel-Philipp (Fidgety Philip) dalam buku kanak-kanaknya. Sejak itu, pemahaman mengenai ADHD berkembang pesat sehingga kini ia menjadi satu keadaan yang kukuh disokong oleh bukti saintifik (well-documented condition).

Sehingga hari ini, terdapat ratusan ribu kajian saintifik yang mengkaji ADHD daripada pelbagai aspek, termasuk epidemiologi, neurobiologi, genetik, diagnosis dan rawatan. Mitos, hikayat dan fiksyen tidak wujud dalam jumlah sebegini.

ADHD juga merupakan keadaan perubatan (medical condition) yang boleh dirawat melalui gabungan pendekatan seperti intervensi psikososial, latihan keibubapaan, sokongan pendidikan dan, apabila bersesuaian, rawatan ubat.

ADHD berlaku merentasi semua lapisan masyarakat. Ia tidak berkaitan dengan budaya, status sosioekonomi, bangsa, tahap kecerdasan (IQ) atau tahap pendidikan seseorang. Kanak-kanak daripada mana-mana latar belakang berpotensi mengalami ADHD.

Paling penting dalam konteks artikel ini, ADHD bukan berpunca daripada keibubapaan yang buruk (bad parenting).

Walau bagaimanapun, jika ibu bapa atau penjaga gagal memahami ciri-ciri ADHD dan keperluan perkembangan anak, kanak-kanak tersebut berisiko dibesarkan dalam pendekatan keibubapaan yang tidak sesuai (wrong parenting), sekali gus meningkatkan risiko berlakunya pelbagai kesukaran perkembangan, emosi dan tingkah laku pada masa hadapan.

Adversiti, Keterukan dan Impairment dalam ADHD

Dalam menilai ADHD, dua perkara yang perlu diberi perhatian ialah adversiti (adversity) dan tahap keterukan (severity). Kedua-dua aspek ini penting kerana ia berkait rapat dengan tahap impairment, iaitu sejauh mana ADHD menjejaskan fungsi harian seseorang dalam pelbagai domain kehidupan seperti pembelajaran, hubungan sosial, pekerjaan dan kehidupan berkeluarga.

Adversiti boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada satu keadaan tertentu. Sebagai contoh, kemiskinan atau status sosioekonomi yang rendah boleh meningkatkan tekanan hidup serta menyukarkan akses kepada diagnosis dan rawatan.

Namun begitu, status sosioekonomi yang tinggi juga tidak semestinya melindungi seseorang daripada kesan ADHD. Tekanan akibat jangkaan akademik atau kerjaya yang tinggi, kebimbangan (anxiety), kemurungan (depression) dan stres juga boleh menjadi faktor yang memburukkan tahap impairment seseorang yang mempunyai ADHD.

Maka masalah berkaitan ADHD merentasi semua budaya, status sosioekonomi, bangsa, etnik dan tahap pendidikan. Tiada satu budaya atau gaya hidup tertentu yang kebal daripada ADHD.

Sebagai contoh, Jepun terkenal dengan budaya yang menitikberatkan disiplin, rutin dan ketepatan masa. Walaupun nilai-nilai ini sangat ditekankan dalam masyarakat Jepun, ADHD tetap wujud dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di negara tersebut.

Begitu juga dengan pemakanan. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa saffron berpotensi membantu mengurangkan sebahagian simptom ADHD sebagai terapi pelengkap. Namun demikian, kewujudan ADHD di Iran, tempat saffron digunakan secara meluas, menunjukkan bahawa ADHD bukanlah berpunca daripada pemakanan semata-mata.

Di China pula, masyarakatnya sering dikaitkan dengan disiplin dan penekanan yang tinggi terhadap pendidikan. Walaupun begitu, ADHD tetap didiagnosis dalam populasi negara tersebut.

Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa ADHD ialah gangguan perkembangan saraf yang bersifat universal. Ia bukan disebabkan oleh budaya tertentu, corak pemakanan, tahap disiplin atau status sosioekonomi. Sebaliknya, faktor-faktor tersebut lebih mempengaruhi bagaimana simptom ADHD dizahirkan, dikenali, dirawat dan sejauh mana ia menyebabkan impairment dalam kehidupan seseorang.

Mengapa ADHD pada Kanak-kanak Sukar Difahami?

Salah satu cabaran terbesar dalam memahami ADHD pada kanak-kanak ialah mereka belum mempunyai keupayaan untuk menerangkan pengalaman dalaman mereka sebagaimana orang dewasa.

Seorang dewasa yang mengalami kesukaran boleh berjumpa doktor atau ahli psikologi, kemudian menjelaskan apa yang dirasainya, bila simptom bermula, situasi yang mencetuskan masalah dan bagaimana ia menjejaskan kehidupannya. Maklumat seperti ini amat membantu proses penilaian klinikal.

Namun, keadaan ini berbeza bagi kanak-kanak. Mereka sering belum mempunyai kemahiran bahasa, keupayaan refleksi diri dan kefahaman emosi yang mencukupi untuk menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku dalam fikiran mereka. Oleh sebab itu, ahli klinikal dan ibu bapa banyak bergantung kepada pemerhatian terhadap tingkah laku, perkembangan serta laporan daripada penjaga dan guru.

Ramai individu yang hanya didiagnosis apabila dewasa mampu menceritakan pengalaman mereka semasa kecil. Namun begitu, ingatan tersebut tidak semestinya menggambarkan keseluruhan pengalaman sebenar ketika mereka masih kanak-kanak. Ingatan manusia dipengaruhi oleh peredaran masa, pengalaman hidup dan tafsiran semula terhadap peristiwa yang telah berlaku.

Satu lagi cabaran ialah apabila kanak-kanak cuba meluahkan perasaan atau mempertahankan diri, tingkah laku mereka kadangkala disalah tafsir. Ada yang terus dilabel sebagai degil, suka melawan atau tidak menghormati orang dewasa. Dalam sesetengah keadaan, penilaian klinikal mungkin turut mempertimbangkan keadaan lain seperti Oppositional Defiant Disorder (ODD) jika corak tingkah laku memenuhi kriteria diagnostik. Walau bagaimanapun, setiap diagnosis perlu dibuat melalui penilaian yang menyeluruh dan bukan berdasarkan satu atau dua tingkah laku sahaja.

Persepsi masyarakat terhadap kanak-kanak ADHD juga berubah mengikut zaman. Pada masa dahulu, mereka sering dilabel sebagai nakal, jahat atau bodoh. Hari ini, walaupun kesedaran mengenai ADHD semakin meningkat, masih wujud pelbagai salah faham. Contohnya, terdapat kecenderungan untuk mengaitkan sesuatu tingkah laku tertentu secara automatik dengan ADHD, sedangkan tingkah laku seperti menggigit, menjerit atau bertindak agresif bukanlah ciri khusus ADHD. Tingkah laku tersebut boleh berlaku atas pelbagai sebab, termasuk usia perkembangan, masalah regulasi emosi atau keadaan perkembangan yang lain.

Oleh itu, memahami ADHD pada kanak-kanak memerlukan penilaian yang teliti, melihat keseluruhan corak perkembangan serta mengelakkan kesimpulan yang terlalu cepat berdasarkan satu tingkah laku sahaja.

Salah Faham Diagnosis dan Komorbiditi ADHD dengan Autisme

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan satu kes jenayah, iaitu kes tikaman di sekolah, yang dilaporkan melibatkan seorang remaja yang dikatakan mempunyai diagnosis autisme.

Tujuan perbincangan ini bukan untuk mengaitkan autisme atau ADHD dengan perlakuan jenayah, kerana majoriti individu yang mempunyai kedua-dua keadaan ini tidak bersifat ganas dan tidak melakukan jenayah. Sebaliknya, isu yang ingin dibangkitkan ialah tentang ketepatan diagnosis dan kefahaman masyarakat terhadap gangguan perkembangan saraf.

Sehingga hari ini, masih terdapat kekeliruan yang ketara di sekolah dan dalam masyarakat. Sebagai contoh, apabila seorang kanak-kanak aktif, sukar duduk diam atau mengganggu rakan sekelas, mereka sering dilabel sebagai hiperaktif. Istilah itu pula kemudiannya dianggap sama dengan ADHD. Hakikatnya, hiperaktif hanyalah satu simptom, bukannya diagnosis. Begitu juga, tidak semua kanak-kanak autisme mempunyai ADHD, dan tidak semua kanak-kanak ADHD mempunyai autisme.

Dalam amalan klinikal, ADHD dan Autism Spectrum Disorder (ASD) boleh wujud bersama (coexist). Menurut penyelidikan yang dirujuk oleh Dr Russell A. Barkley, dianggarkan sekitar 30 hingga 40 peratus kanak-kanak yang didiagnosis dengan ADHD juga memenuhi kriteria untuk ASD. Oleh itu, kewujudan kedua-dua diagnosis secara serentak bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Perkara ini menimbulkan satu persoalan yang wajar dikaji dalam konteks Malaysia:

Daripada keseluruhan kanak-kanak yang didiagnosis dengan ADHD, berapa ramaikah yang benar-benar mempunyai ADHD sahaja tanpa sebarang gangguan perkembangan atau gangguan psikiatri lain yang berlaku bersama (komorbiditi)?

Persoalan ini penting kerana ADHD pada kanak-kanak sering disertai keadaan lain seperti ASD, gangguan pembelajaran khusus, gangguan bahasa, gangguan koordinasi perkembangan, kebimbangan (anxiety), atau gangguan tingkah laku. Memahami kadar komorbiditi dalam populasi tempatan akan membantu meningkatkan ketepatan diagnosis, merancang intervensi yang lebih sesuai dan mengelakkan salah faham dalam kalangan ibu bapa, guru dan masyarakat.

Dengan kata lain, persoalan yang perlu diberi perhatian bukan sekadar adakah kanak-kanak ini mempunyai ADHD?, tetapi juga adakah terdapat keadaan lain yang wujud bersama ADHD dan memerlukan intervensi yang berbeza?. Pendekatan inilah yang lebih selari dengan amalan klinikal berasaskan bukti.

Dua Ekstrem dalam Melihat Diagnosis

Apabila berlaku sesuatu kes berprofil tinggi yang mendapat liputan meluas di media dan media sosial, walaupun kes tersebut terpencil, ia sering membentuk persepsi masyarakat terhadap keseluruhan kumpulan individu yang mempunyai diagnosis gangguan perkembangan saraf seperti ADHD atau Autism Spectrum Disorder (ASD).

Keadaan ini boleh membawa kepada dua ekstrem yang sama-sama tidak membantu.

Ekstrem yang pertama ialah apabila diagnosis dijadikan sebagai hukuman atau stigma. Individu yang menerima diagnosis dilihat sebagai bermasalah, berbahaya atau tidak boleh dipercayai. Akibatnya, diagnosis yang sepatutnya menjadi pintu masuk kepada penilaian, rawatan dan sokongan bertukar menjadi label yang membawa diskriminasi.

Ekstrem yang kedua ialah apabila diagnosis dijadikan sebagai alasan untuk menghalalkan semua tingkah laku. Dalam keadaan ini, setiap perlakuan yang tidak sesuai, termasuk perlakuan yang boleh mencederakan orang lain, dianggap semata-mata berpunca daripada diagnosis tanpa penilaian yang teliti terhadap faktor-faktor lain. Pendekatan seperti ini juga tidak tepat kerana mempunyai ADHD atau ASD tidak bermaksud seseorang tidak perlu belajar mengawal tingkah laku, menerima intervensi yang sesuai atau dipertanggungjawabkan mengikut tahap keupayaan mereka.

Pendekatan yang lebih tepat ialah melihat diagnosis sebagai alat untuk memahami keperluan seseorang, bukannya sebagai hukuman yang membawa stigma atau sebagai lesen untuk mengecualikan seseorang daripada tanggungjawab.

Tujuan utama diagnosis adalah untuk memastikan individu menerima intervensi, sokongan dan penyesuaian yang bersesuaian agar mereka dapat berfungsi dengan lebih baik dalam kehidupan seharian.

Fokus Sebenar: Ketepatan Diagnosis ADHD pada Kanak-kanak Kecil

Adalah membimbangkan apabila perbincangan mengenai ADHD dalam masyarakat terlalu cepat beralih kepada unsur ketakutan, khususnya berkaitan penyalahgunaan ubat ADHD seperti Ritalin atau ubat perangsang (stimulant medication) yang ditayangkan dalam sebuah drama fiksyen Korea Selatan bertajuk Teach You a Lesson.

Dalam perbincangan antarabangsa, isu penyalahgunaan ubat ADHD memang lebih banyak dibincangkan dalam konteks tertentu, termasuk penggunaan ubat seperti Adderall di sesetengah negara. Namun, konteks setiap negara adalah berbeza. Malaysia mempunyai sistem kawal selia ubat yang tersendiri, dan penggunaan ubat ADHD perlu dilihat berdasarkan amalan klinikal tempatan serta garis panduan perubatan.

Oleh itu, persoalan utama yang wajar diberi perhatian bukanlah semata-mata tentang sama ada ubat ADHD akan disalahgunakan, tetapi:

Adakah diagnosis ADHD yang diberikan kepada kanak-kanak kecil dibuat dengan penilaian yang tepat, menyeluruh dan berdasarkan kriteria klinikal yang sah?

Persoalan ini menjadi lebih penting apabila melibatkan kanak-kanak prasekolah, khususnya mereka yang berumur enam tahun ke bawah atau lebih muda. Dalam perkembangan kanak-kanak, tingkah laku seperti impulsif, sukar mengawal emosi, aktif bergerak atau kesukaran mengikuti arahan boleh berlaku sebagai sebahagian daripada perkembangan normal. Oleh itu, membezakan antara variasi perkembangan biasa dengan gangguan perkembangan saraf memerlukan penilaian yang teliti.

Dalam kes melibatkan kanak-kanak yang sangat kecil, contohnya kanak-kanak berumur sekitar empat tahun yang dilaporkan menunjukkan tingkah laku seperti menggigit kanak-kanak lain, persoalan yang perlu diteliti bukan sekadar sama ada tingkah laku itu sama dengan simptom ADHD, tetapi:

  • Apakah sejarah perkembangan kanak-kanak tersebut?
  • Adakah terdapat corak simptom yang konsisten dalam pelbagai persekitaran?
  • Adakah tingkah laku tersebut menyebabkan impairment yang ketara?
  • Adakah terdapat keadaan lain seperti kelewatan perkembangan, masalah komunikasi, kesukaran regulasi emosi atau keadaan perkembangan lain yang perlu dinilai?

Diagnosis ADHD pada Usia Empat Tahun: Keperluan Penilaian yang Sangat Teliti

Kajian dan pandangan pakar menunjukkan bahawa diagnosis ADHD boleh dipertimbangkan pada kanak-kanak berumur empat tahun. Walau bagaimanapun, diagnosis pada peringkat usia ini memerlukan penelitian yang jauh lebih berhati-hati berbanding kanak-kanak yang lebih besar.

Antara syarat yang perlu diberi perhatian:

  1. Simptom berada pada tahap keterukan yang tinggi (severe). Tingkah laku yang ditunjukkan mestilah bukan sekadar aktif atau sukar dikawal seperti biasa, tetapi berada pada tahap yang jelas melampaui jangkaan perkembangan usia.
  2. Simptom berlaku secara berterusan (persistent). Tingkah laku tersebut perlu wujud secara konsisten dalam tempoh tertentu dan bukan hanya berlaku secara sementara akibat perubahan persekitaran, tekanan atau situasi tertentu.
  3. Tingkah laku sangat ketara dan melampau (extreme). Manifestasi simptom perlu menunjukkan perbezaan yang jelas berbanding kanak-kanak sebaya sehingga memerlukan perhatian klinikal.
  4. Berlaku secara meluas (pervasive). Simptom ADHD perlu memberi kesan dalam lebih daripada satu keadaan atau persekitaran. Penilaian perlu melihat sama ada masalah tersebut berlaku secara konsisten dalam pelbagai konteks.
  5. Menyebabkan impairment yang nyata. Diagnosis bukan hanya berdasarkan kewujudan simptom, tetapi berdasarkan sejauh mana simptom tersebut mengganggu fungsi harian kanak-kanak, termasuk pembelajaran, hubungan sosial, perkembangan emosi dan kehidupan keluarga.

Selain itu, penilaian perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak bergantung kepada satu pemerhatian sahaja. Berdasarkan prinsip diagnostik ADHD, simptom perlu hadir sekurang-kurangnya dalam dua persekitaran (setting) yang berbeza, contohnya di rumah dan di sekolah atau tadika.

Pakar juga perlu memastikan bahawa tingkah laku tersebut bukan semata-mata berpunca daripada faktor lain seperti provokasi persekitaran, masalah komunikasi, tekanan keluarga, perubahan rutin, trauma, kelewatan perkembangan atau keadaan perkembangan lain.

Perubahan Struktur Keluarga dan Cabaran Mengenali ADHD pada Kanak-kanak

Dalam memahami isu diagnosis ADHD pada kanak-kanak, kita sering merujuk kepada data dan kajian daripada negara seperti Amerika Syarikat kerana negara tersebut mempunyai sejarah penyelidikan, dokumentasi klinikal dan data populasi yang lebih panjang dalam bidang perkembangan kanak-kanak.

Dalam beberapa aspek, perubahan sosial yang berlaku di Malaysia berlaku lebih lewat berbanding negara Barat. Oleh itu, sebahagian pengalaman dan cabaran yang telah dikaji lebih awal di Amerika Syarikat mula kelihatan dalam konteks Malaysia beberapa dekad kemudian.

Salah satu perubahan sosial yang penting ialah perubahan struktur keluarga, khususnya apabila kedua-dua ibu bapa semakin ramai bekerja di luar rumah dan penjagaan anak diserahkan kepada pusat jagaan atau pengasuh.

Di Amerika Syarikat, perubahan besar dalam corak keluarga dan penglibatan wanita dalam tenaga kerja telah berlaku lebih awal, khususnya sekitar tahun 1970-an. Di Malaysia pula, perubahan ini menjadi semakin ketara mulai sekitar tahun 1990-an apabila semakin ramai ibu dan bapa bekerja sepenuh masa, menyebabkan keperluan terhadap sistem penjagaan anak secara formal semakin meningkat.

Dari sudut perundangan, Malaysia telah menggubal Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) sebagai asas kawal selia pusat jagaan kanak-kanak. Ini menunjukkan perkembangan sistem pengasuhan kanak-kanak secara lebih formal dalam masyarakat.

Memasuki sekitar tahun 2010 dan seterusnya, penggunaan pusat jagaan, taska dan sistem pengasuhan alternatif semakin menjadi sebahagian daripada norma kehidupan keluarga moden di Malaysia.

Perubahan ini juga membawa kepada peningkatan interaksi antara kanak-kanak dengan pihak luar seperti guru, pengasuh dan kaunselor sekolah. Dalam konteks pendidikan, semakin banyak laporan daripada guru dan guru kaunseling mengenai kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku mencabar, kesukaran mengawal emosi, masalah perhatian atau kesukaran menyesuaikan diri.

Pada peringkat awal, sebahagian ibu bapa mungkin memberi reaksi dengan penafian, kekeliruan atau kebimbangan apabila menerima maklum balas tersebut. Hal ini boleh berlaku kerana kurangnya kesedaran, pengetahuan dan akses kepada maklumat yang tepat mengenai perkembangan kanak-kanak serta keadaan seperti ADHD.

Oleh itu, cabaran utama bukan hanya mengenal pasti simptom, tetapi juga membina kefahaman dalam kalangan ibu bapa, guru dan masyarakat bahawa tingkah laku kanak-kanak perlu dinilai secara objektif berdasarkan perkembangan, konteks persekitaran dan bukti klinikal.

Perbezaan Perkembangan Kesedaran Diagnosis Autisme dan ADHD di Malaysia

Dalam konteks Malaysia, kesedaran dan pengesanan berkaitan Autism Spectrum Disorder (ASD) berkembang lebih awal berbanding ADHD. Secara relatifnya, pengenalan, perbincangan masyarakat dan proses mendapatkan diagnosis autisme telah berlaku sekitar satu hingga dua dekad lebih awal berbanding kesedaran terhadap ADHD.

Pengesanan awal autisme banyak berlaku melalui sistem pendidikan, terutamanya apabila guru dan pihak sekolah mengenal pasti kanak-kanak yang menunjukkan perbezaan dari segi komunikasi, interaksi sosial, tingkah laku dan keperluan sokongan perkembangan.

Perbezaan ini sebahagiannya berkaitan dengan tahap keperluan sokongan yang sering dikaitkan dengan autisme. Sebahagian kanak-kanak autisme mungkin memerlukan sokongan yang lebih intensif dalam aspek komunikasi, penjagaan harian, pembelajaran dan penyesuaian sosial. Oleh sebab itu, kesannya terhadap fungsi harian (functionality) sering lebih mudah dilihat oleh keluarga, sekolah dan masyarakat.

Dalam perkembangan kesedaran ADHD di Malaysia yang berlaku kemudian, diagnosis ADHD kadangkala menjadi satu bentuk ruang pemahaman baharu bagi sesetengah ibu bapa yang sebelum ini sukar menerima atau memahami keadaan perkembangan anak mereka.

Dalam sesetengah situasi, ibu bapa yang berdepan dengan kebimbangan terhadap perkembangan anak mungkin lebih mudah menerima penerangan berkaitan ADHD kerana persepsi masyarakat terhadap ADHD berbeza berbanding autisme. Ada juga ibu bapa yang pada awalnya berada dalam fasa penafian (denial) terhadap kemungkinan autisme kerana kebimbangan terhadap stigma atau salah faham masyarakat.

Namun, perkara yang paling penting ialah setiap diagnosis perlu dinilai berdasarkan ciri klinikal sebenar, bukannya dipilih berdasarkan diagnosis yang lebih mudah diterima oleh keluarga. Autisme dan ADHD ialah dua keadaan perkembangan saraf yang berbeza, walaupun kedua-duanya boleh berlaku bersama pada individu yang sama.

Matlamat utama diagnosis bukanlah untuk mencari label yang paling boleh diterima, tetapi untuk memahami profil perkembangan seseorang kanak-kanak supaya intervensi, sokongan dan perancangan pendidikan dapat diberikan dengan tepat.

Impairment Jangka Panjang ADHD yang Tidak Dikenal Pasti

Mungkin terdapat ibu bapa yang lebih mudah menerima atau berasa lebih lega dengan label atau diagnosis ADHD berbanding diagnosis autisme. Hal ini mungkin berkaitan dengan persepsi masyarakat terhadap kedua-dua diagnosis tersebut, termasuk stigma, kebimbangan dan kefahaman yang berbeza mengenai keperluan sokongan yang diperlukan oleh anak mereka.

Namun, persoalan yang lebih besar ialah apabila masalah sebenar impairment, khususnya adaptive impairment yang berkaitan dengan ADHD sepanjang perkembangan kanak-kanak, tidak dikenal pasti atau tidak diberikan intervensi yang sesuai.

ADHD bukan sekadar isu kanak-kanak yang aktif atau sukar duduk diam. Jika tidak dikenal pasti dan diuruskan dengan baik, ia boleh berkait dengan pelbagai cabaran perkembangan dan fungsi kehidupan seperti:

  1. Masalah pembelajaran dan akademik. Termasuk kesukaran pencapaian akademik (poor achievement) walaupun potensi intelektual mungkin tidak bermasalah.
  2. Ketidakserasian dengan sistem persekolahan (school maladjustment). Termasuk kesukaran menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah, masalah kehadiran atau kehilangan motivasi terhadap pembelajaran.
  3. Penolakan oleh rakan sebaya (peer rejection). Kanak-kanak mungkin mengalami kesukaran membina hubungan sosial yang stabil akibat impulsiviti, kawalan emosi atau tingkah laku yang disalah faham oleh rakan.
  4. Masalah tingkah laku dan sosial. Termasuk risiko mengalami gangguan seperti Oppositional Defiant Disorder (ODD), Conduct Disorder, kecenderungan melanggar peraturan dan tingkah laku berisiko.
  5. Penglibatan dalam tingkah laku berisiko ketika remaja. Antaranya merokok pada usia awal, penyalahgunaan bahan, pendedahan kepada kandungan seksual tidak sesuai, kehamilan remaja, aktiviti berbahaya dan keputusan impulsif yang memberi kesan jangka panjang.
  6. Kegagalan pendidikan dan penyesuaian sosial. Termasuk keciciran sekolah (school dropout), tersalah memilih bidang pendidikan, kesukaran mengekalkan laluan akademik atau kerjaya.
  7. Masalah undang-undang dan ketagihan. Sebahagian individu yang tidak menerima sokongan yang sesuai mungkin berdepan risiko terlibat dengan masalah jenayah, ditahan pihak berkuasa, penyalahgunaan dadah atau ketagihan tertentu.
  8. Masalah kawalan tingkah laku dan penggunaan teknologi secara berlebihan. Termasuk penggunaan permainan video secara ekstrem, kesukaran mengawal impuls dan penglibatan dalam budaya buli atau kumpulan berisiko seperti gangsterisme.

Walaupun tiada laporan rasmi dan data yang konklusif, impairment yang dinyatakan di atas sering cuba diselesaikan melalui perubahan persekitaran seperti memasukkan anak ke sekolah tertentu, sekolah berasrama, pengajian pondok, program tuisyen tambahan, aktiviti kokurikulum yang banyak, latihan sukan intensif, sekolah sukan atau badan beruniform.

Ada juga yang tersilap memilih bidang pendidikan kerana keputusan dibuat tanpa memahami profil kekuatan dan cabaran diri mereka.

Seterusnya, kemungkinan-kemungkinan berikut boleh diberikan perhatian:

  • Berapa ramai sebenarnya kanak-kanak yang mempunyai ADHD tetapi tidak dikenal pasti, tidak didiagnosis atau terlepas daripada sistem intervensi awal?
  • Apabila mereka terlepas daripada perhatian awal, apakah kesan yang berlaku sepanjang perjalanan perkembangan mereka?
  • Mengapa sesetengah kanak-kanak ADHD, apabila diprovokasi atau diganggu, menunjukkan reaksi seperti menggigit dan bukannya memukul atau terlibat dalam pergaduhan yang lebih besar?
  • Mungkinkah sebahagian pelajar yang menjalani hukuman kesalahan juvana di Sekolah Henry Gurney sebenarnya mempunyai ADHD yang tidak didiagnosis?

Dalam keadaan yang lebih mencabar, masih terdapat individu yang akhirnya terperangkap dalam kitaran kemiskinan tegar kerana masalah perkembangan, pendidikan dan fungsi kehidupan tidak ditangani pada peringkat awal.

Oleh itu, isu utama bukan sekadar memberikan label ADHD, tetapi memastikan kanak-kanak yang mempunyai ADHD dikenal pasti dengan tepat, dinilai secara menyeluruh dan diberikan sokongan yang sesuai sebelum kesannya menjadi lebih besar pada masa hadapan.