Diagnosis Journey

Tiga Salah Faham Terhadap ADHD Dewasa

Ramai menganggap ADHD hanya berlaku pada kanak-kanak dan akan sembuh menjelang dewasa. Kefahaman yang cetek ini menyebabkan banyak salah faham dan stigma terhadap individu ADHD dewasa, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan rawatan dan sokongan.

Salah faham 1: Sukar tumpukan perhatian bermakna ADHD

Mengambil satu simptom ADHD, iaitu sukar menumpukan perhatian, membuatkan ramai orang menyangka mereka juga mempunyai ADHD.

Kita kini hidup dalam era internet dan media sosial. Platform seperti Facebook, Instagram, YouTube, dan TikTok sentiasa menghidangkan maklumat dan hiburan tanpa henti, sehingga ramai sukar menumpukan perhatian terhadap tugasan.

Tidak dapat fokus akibat dihujani maklumat tidak bermakna seseorang itu mempunyai ADHD, selagi ia tidak menjejaskan kehidupan harian. Simptom ADHD biasanya muncul sejak kanak-kanak. Seseorang tidak akan tiba-tiba mendapat ADHD ketika dewasa, kecuali mereka lewat didiagnosis. Simptom yang ada sebenarnya telah muncul sejak kecil, tetapi menjadi lebih ketara apabila cabaran kehidupan bertambah dan persekitaran tidak lagi berstruktur seperti zaman kanak-kanak.

Salah faham 2: Individu ADHD dewasa biadab

Sifat impulsif individu ADHD membuatkan tingkah laku mereka mudah disalah tafsir. Mereka mungkin melontarkan kata-kata tanpa berfikir panjang, mencelah ketika orang bercakap, atau menjawab sebelum soalan habis ditanya.

Mereka juga mungkin sukar bersabar ketika menunggu giliran. Orang yang tidak memahami ADHD mungkin menilai tingkah laku ini sebagai kurang beradab atau kurang common sense. Akibatnya, individu ADHD boleh berasa rendah diri.

Sebenarnya, perkara yang boleh dikawal oleh kebanyakan orang ini tidak semudah itu untuk dikawal oleh individu ADHD, kerana cara otak mereka memproses maklumat memang berbeza.

Salah faham 3: Orang dewasa boleh mengawal ADHD dengan mudah

Melihat kepada simptom ADHD, sesetengah orang menganggap cabaran ini bukan masalah besar, dan jika individu ADHD berusaha lebih kuat, mereka boleh mengatasinya.

ADHD ialah neurodevelopmental disorder (gangguan pembangunan saraf), bukan behaviour disorder (gangguan perilaku). Penilaian sebegini tidak adil. Sesiapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami betapa sukarnya kehidupan apabila cara berfikir seseorang berbeza daripada kebanyakan orang.

Tanpa rawatan dan sokongan, ADHD boleh menyebabkan cabaran serius dalam kehidupan, hubungan, pekerjaan, dan juga keselamatan ketika memandu. Individu dengan ADHD juga berisiko lebih tinggi mengalami masalah kesihatan mental lain seperti kemurungan, kegelisahan, dan penyalahgunaan bahan.

Kesimpulan

Kebanyakan orang pernah mengalami simptom seperti ADHD sesekali. Namun bagi individu dengan ADHD, simptom ini berlaku dengan kekerapan yang lebih tinggi dan kesan yang lebih besar. ADHD berkait rapat dengan cara otak menerima dan memproses maklumat.

Sekiranya anda fikir anda mempunyai simptom ADHD, elakkan membuat diagnosis sendiri. Anda boleh mulakan dengan saringan ADHD percuma kami, kemudian rujuk pakar melalui direktori klinik kami untuk diagnosis yang tepat.

Rujukan

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.