ADHD: Antara Mitos & Fakta

ADHD masih kurang diberi perhatian, dan kesedaran yang terhad ini menyebabkan munculnya pelbagai mitos. Mari kita lihat lima mitos biasa dan fakta sebenarnya.
Mitos 1: ADHD tidak wujud
Fakta: Banyak kajian telah dijalankan mengenai ADHD. Terdapat lebih daripada 100,000 artikel mengenainya, dan rujukan tentang keadaan ini boleh dijumpai dalam buku teks perubatan sejak tahun 1775.
Kajian mendapati ADHD melibatkan cabaran serius dari segi tumpuan, hiperaktiviti, dan impulsiviti. Terdapat juga perbezaan struktur otak antara individu dengan ADHD dan individu neurotipikal (mereka yang tidak mempunyai ADHD). Perbezaan ini memberi kesan besar terhadap kehidupan harian.
Mitos 2: Individu ADHD tidak boleh menumpukan perhatian
Fakta: Walaupun individu dengan ADHD mudah terganggu, mereka juga boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti yang diminati.
Malah, ketika berada dalam keadaan hyperfocus (terlalu fokus terhadap sesuatu), mereka mungkin tidak sedar masa berlalu, tugasan lain yang perlu disiapkan, atau apa yang berlaku di sekeliling.
Mitos 3: ADHD berpunca daripada didikan ibu bapa yang bermasalah
Fakta: Ramai menganggap anak dengan ADHD bermasalah kerana kurang didikan disiplin. Sebenarnya, simptom ini berkait rapat dengan cara otak berfungsi, bukan hasil didikan.
Kajian saintifik mendapati ADHD berpunca daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran. Walaupun begitu, cara didikan tetap penting: ibu bapa yang terlalu tegas dan menghukum anak atas perkara yang mereka tidak boleh kawal boleh memburukkan lagi gejala ADHD. Peranan ibu bapa sangat penting dalam membantu anak belajar mengurus diri dan meningkatkan keyakinan.
Mitos 4: Orang yang ada ADHD adalah pemalas
Fakta: ADHD bukan berkaitan kemalasan. Fungsi sistem saraf otak yang berbeza menjadikan sesetengah aktiviti harian sangat mencabar, seperti memberi tumpuan, mengutamakan tugasan penting, memulakan sesuatu, mengurus emosi, dan melakukan beberapa perkara serentak.
Menyuruh individu dengan ADHD supaya lebih fokus dan lebih rajin ibarat menyuruh orang yang rabun jauh membaca tulisan kecil dari jarak jauh tanpa cermin mata. Simptom ADHD bukan sesuatu yang mudah dikawal.
Mitos 5: Hanya kanak-kanak lelaki mempunyai ADHD
Fakta: Kanak-kanak lelaki lebih ramai didiagnosis kerana tingkah laku hiperaktif mereka lebih ketara. Sebenarnya, tidak semua individu dengan ADHD menunjukkan simptom hiperaktif.
Sebagai contoh, kanak-kanak perempuan yang kerap mengelamun sering terlepas pandang kerana fikiran mereka yang menerawang tidak mengganggu kelas. Kanak-kanak perempuan yang tidak didiagnosis awal cenderung mengalami kemurungan (depression) dan kegelisahan (anxiety) apabila dewasa. ADHD boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, cuma simptomnya berbeza antara individu.
Kesimpulan
Pengetahuan tentang ADHD amat penting, terutamanya dalam kalangan ibu bapa. Diagnosis awal memberi peluang untuk menyokong anak dan membantu mereka memahami diri sendiri. Bagi orang dewasa, penting untuk berhenti mempercayai mitos dan mendapatkan diagnosis demi kesejahteraan diri.
Anda boleh mulakan dengan saringan ADHD percuma kami, atau cari pakar melalui direktori klinik kami.
Rujukan
- Barkley, R.A. (2019). Myth: ADHD doesn’t exist. https://www.adhdawarenessmonth.org/thousands-studies-say-adhd-is-real/
- ADHD Coaches Organization. (2019). Myth: People with ADHD just can’t concentrate. https://www.adhdawarenessmonth.org/concentration-myth/
- Brown, T.E. (2019). Myth: ADHD is just an excuse for laziness. https://www.adhdawarenessmonth.org/adhd-excuse-for-laziness/
- Faraone, S.V. (2019). Myth: ADHD is caused by bad parenting. https://www.adhdawarenessmonth.org/myth-adhd-caused-by-bad-parenting/
- Frank, M. (2019). Myth: Only boys have ADHD. https://www.adhdawarenessmonth.org/myth-only-boys-have-adhd/
Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.