ADHD atau ADD?

Apakah ADHD dan ADD? Adakah keduanya serupa atau berbeza?
Mungkin anda atau anak anda kerap mengelamun dan mudah hilang tumpuan semasa membuat sesuatu kerja. Atau mungkin anda perasan diri sentiasa bergerak dan sukar duduk diam. Keadaan ini membuat ramai orang tertanya-tanya sama ada mereka mempunyai attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD), atau apa yang dahulu dipanggil attention deficit disorder (ADD).
Apa perbezaan ADHD dan ADD?
Ramai menggunakan kedua-dua istilah ini seolah-olah ia sama. Pada dasarnya betul, tetapi tidak tepat sepenuhnya.
ADD ialah istilah lama yang dahulu digunakan untuk menerangkan keadaan tanpa simptom hiperaktiviti (aktif bergerak dan gelisah). Istilah ini sudah tidak lagi digunakan secara rasmi dalam diagnosis perubatan. Apa yang dahulu dipanggil ADD kini dikenali sebagai salah satu jenis ADHD, iaitu ADHD Inattentive Presentation.
Perubahan ini bermula pada tahun 1994, apabila para pakar bersepakat untuk menggunakan satu istilah tunggal, iaitu attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD), walaupun bagi individu yang tidak menunjukkan simptom hiperaktiviti.
Tiga presentation ADHD
Kini, ADHD dikategorikan kepada tiga presentation mengikut buku panduan diagnostik Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), yang digunakan oleh pakar kesihatan mental di Malaysia dan seluruh dunia:
- ADHD Inattentive Presentation (kesukaran untuk fokus, dahulu dipanggil ADD)
- ADHD Hyperactive-Impulsive Presentation (tenaga berlebihan dan kecenderungan bertindak tanpa berfikir dahulu)
- ADHD Combined Presentation (gabungan inattentive dan hyperactive-impulsive)
Presentation mana yang menepati keadaan anda atau anak anda bergantung pada simptom spesifik yang dialami. Oleh itu, penting untuk berbincang dengan pakar yang berpengalaman dalam mendiagnosis ADHD.
Mengelamun atau membuat kacau?
ADHD ialah keadaan neurodevelopmental yang memberi kesan kepada kehidupan harian, sama ada di rumah, di sekolah, atau di tempat kerja. Individu dengan ADHD kebiasaannya menghadapi cabaran untuk menumpukan perhatian dan mengawal tingkah laku, dan kadangkala menunjukkan hiperaktiviti.
Sebelum mendapatkan diagnosis, ada baiknya mengenal pasti simptom terlebih dahulu. Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menyediakan senarai semak ADHD untuk kanak-kanak dan dewasa bagi memudahkan proses ini.
Antara tanda yang perlu diperhatikan:
- Inattention (kesukaran fokus): tidak teratur, sukar kekal dengan satu tugasan, kerap mengelamun, dan sukar memberi tumpuan.
- Impulsivity (impulsif): bertindak tanpa memikirkan kesan jangka panjang, mahukan hasil segera, dan kerap mencelah ketika orang lain bercakap.
- Hyperactivity (tenaga berlebihan): bertutur dengan pantas, sentiasa bergerak, dan sukar duduk diam terutamanya ketika sepatutnya tenang.
ADHD Inattentive Presentation (dahulu ADD)
Kanak-kanak atau dewasa dengan presentation ini bukan hiperaktif. Mereka tidak menunjukkan tenaga berlebihan, sebaliknya sering dianggap pemalu atau seperti berada dalam dunia mereka sendiri.
Mengikut kriteria DSM-5, presentation ini dikenal pasti apabila seseorang menunjukkan enam atau lebih simptom inattentive (lima atau lebih bagi individu 17 tahun ke atas) yang berterusan sekurang-kurangnya enam bulan, tanpa simptom hiperaktiviti yang ketara.
Antara simptomnya:
- Kesukaran menumpukan perhatian.
- Mengelak tugasan yang memerlukan pemikiran berpanjangan.
- Ruang peribadi yang tidak teratur.
- Ingatan jangka pendek yang lemah atau mudah terlupa.
- Seakan-akan tidak mendengar walaupun bercakap berdepan.
- Kerap kehilangan barang dan terlepas janji temu.
- Sukar mengikut arahan.
Individu dengan presentation ini sering terlepas pandang dan lewat didiagnosis kerana simptom mereka dianggap sekadar mengelamun.
ADHD Hyperactive-Impulsive Presentation
Individu dengan presentation ini menunjukkan tenaga yang berlebihan dan sentiasa bergerak sehingga menimbulkan cabaran. Presentation ini lebih mudah dikesan berbanding inattentive.
Antara simptomnya:
- Bertutur tanpa berfikir dan sukar menunggu giliran.
- Kerap mengganggu orang lain dan bercakap tanpa henti.
- Kerap gelisah dan sukar duduk diam dalam jangka masa lama.
- Bertindak sebelum berfikir.
ADHD Combined Presentation
Individu dengan presentation gabungan menunjukkan simptom daripada kedua-dua presentation di atas. Ini adalah presentation yang paling biasa.
Jika anda rasa anda mempunyai ADD
ADD sememangnya keadaan yang nyata, cuma kini ia dirujuk sebagai ADHD Inattentive Presentation. Jika anda rasa diri anda atau anak anda menunjukkan simptom ini, ia adalah sah. Anda tidak keseorangan, kerana ramai yang masih keliru dan tidak sedar bahawa simptom mereka termasuk dalam diagnosis ADHD.
Apa langkah seterusnya?
Anda boleh mulakan dengan saringan ADHD percuma kami untuk memahami simptom anda dengan lebih jelas. Untuk diagnosis rasmi, lawati direktori klinik kami bagi mencari pakar di seluruh Malaysia.
Rujukan
- American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5).
- WebMD. ADD vs. ADHD: What’s the Difference?
Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.