ADHD Dewasa: Simptom yang Perlu Anda Ketahui

Maksud ADHD
ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) ialah keadaan neurodevelopmental yang biasanya dikenal pasti pada peringkat kanak-kanak. Namun simptomnya boleh berterusan hingga ke alam dewasa, sama ada individu itu menyedarinya ataupun tidak. Gejala yang dipamerkan semasa kanak-kanak selalunya hampir sama ketika dewasa.
Satu kajian komuniti di Missouri mendapati nisbah lelaki berbanding wanita yang didiagnosis ADHD sebelum berumur 12 tahun ialah 4:1. Nisbah ini mungkin berbeza mengikut kajian lain, tetapi kebanyakan kajian menunjukkan ADHD lebih kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Ini sebahagiannya kerana simptom pada wanita sering kurang ketara dan lebih mudah terlepas pandang.
Kesedaran tentang ADHD sendiri sering lewat kerana pendedahan awam masih kurang. Ramai individu dengan ADHD tidak menyedarinya sehingga sesuatu peristiwa besar atau life event berlaku dalam kehidupan mereka. Mereka kemudiannya mula mencari jawapan dan mendapatkan pertolongan. Individu yang tidak didiagnosis semasa kanak-kanak sering hanya disahkan apabila dewasa.
Ciri-ciri simptom ADHD dewasa
Berikut adalah simptom ADHD yang biasa terdapat pada orang dewasa.
Ketaktumpuan (Inattention)
Antara gejalanya:
- Kurang perhatian kepada perincian.
- Kesukaran memulakan dan menyiapkan kerja.
- Kesukaran mengekalkan tumpuan dalam tempoh yang panjang.
- Mudah terlupa.
- Kemahiran organisasi yang lemah.
- Pengurusan masa yang lemah.
Sebagai contoh, individu yang kurang fokus sering melengah-lengahkan tugasan di tempat kerja. Dia sukar memulakannya, dan apabila dimulakan pun, tumpuannya kerap terputus. Akhirnya kerja itu hanya disiapkan pada saat akhir dalam tekanan yang tinggi.
Dalam situasi lain, seorang isteri mungkin terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan. Bagi dirinya, maklumat itu terasa remeh, tetapi bagi pasangannya ia tarikh penting. Individu dengan ADHD kerap terlupa, jadi mereka perlu mencatat atau menetapkan reminder. Apabila mereka terlepas janji temu, ia mungkin disalah anggap sebagai sengaja, dan ini boleh menimbulkan masalah dalam hubungan.
Impulsif
Antara gejalanya:
- Gelisah (fidgeting).
- Keresahan.
- Kerap mengganggu suasana, sama ada percakapan atau perbuatan.
- Bercakap berlebihan.
Individu yang impulsif cenderung bercakap tidak kena masa dan seakan-akan mencelah percakapan orang lain. Ketika gelisah, mereka mungkin menggoyangkan lutut tanpa henti, bermain pen, atau membuat doodle semasa mesyuarat. Mereka sukar duduk diam dan bertenang.
Kesukaran mengawal emosi
Orang dewasa dengan ADHD sering sukar mengawal emosi. Mereka mudah marah dan tahap kemarahan itu kadangkala berlebihan sehingga kelihatan seperti mengamuk. Begitu juga perasaan sedih atau kecewa yang mungkin membawa kemurungan. Ketika emosi memuncak, mereka mungkin sukar berfikir dengan jelas.
Toleransi kekecewaan yang rendah
Individu dewasa dengan ADHD mempunyai toleransi yang rendah terhadap kekecewaan. Sebagai contoh, jika sesuatu yang dikerjakan dengan susah payah rosak, mereka mungkin menangis atau marah secara berlebihan. Apabila hasil kerja tidak menepati kualiti yang diharapkan, mereka sangat mudah berasa kecewa.
Kesimpulan
Orang sekeliling yang tidak memahami ADHD mungkin menganggap individu dengan ADHD sebagai pemalas, sukar bergaul, atau tidak menyumbang dalam kerja berkumpulan. Mereka kadangkala dilabel sebagai pembawa masalah oleh rakan sekerja, keluarga, malah pasangan hidup. Label sebegini tidak adil, kerana mereka sebenarnya bergelut dengan perbezaan neurologi yang tidak kelihatan.
Tanpa rawatan yang sewajarnya, cabaran ini boleh berlarutan dan menjejaskan urusan harian, kerjaya, serta hubungan sosial. Oleh itu, penting untuk mengenali simptom ADHD dan mendapatkan diagnosis serta rawatan yang bersesuaian. Jangan diagnosis sendiri, sebaliknya dapatkan pengesahan daripada pakar. Dengan sokongan yang betul, individu dengan ADHD boleh berjaya dalam kerjaya dan menjalani kehidupan yang memuaskan mengikut cara mereka sendiri.
Apa langkah seterusnya?
Jika anda mengenali diri anda dalam simptom di atas, mulakan dengan saringan ADHD percuma kami. Untuk diagnosis rasmi, lawati direktori klinik kami bagi mencari pakar di seluruh Malaysia.
Rujukan
- MedCircle. (2020). ADHD in Adulthood: The Signs You Need to Know. [Video]. https://youtu.be/-8J4wl9eUe4
- Heidi Bernhardt, RN. Red Flags for Adult ADHD. CADDAC. https://caddac.ca/understanding-adhd/in-adulthood/adult-symptoms/
- ADDitude Editors. (2021). Adult ADHD: A Guide to Symptoms, Signs, and Treatments. https://www.additudemag.com/adhd-in-adults/
- Ramtekkar, U. P., et al. (2010). Sex and age differences in Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder symptoms and diagnoses. J Am Acad Child Adolesc Psychiatry, 49(3), 217-228. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3101894/
Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.