Empat Punca Perbezaan Fungsi Otak ADHD

Masalah ketersambungan otak
Di dalam sel otak terdapat jalur panjang (axon) yang diselaputi fiber bernama selaput myelin. Selaput ini juga dipanggil white matter kerana berwarna cerah dan diperbuat daripada lemak. Sel-sel neuron berkomunikasi menggunakan dua jenis isyarat: elektrik dan kimia. Isyarat elektrik digunakan di dalam sel neuron, manakala isyarat kimia di jurang antara dua neuron. Selaput myelin berfungsi seperti penebat plastik pada wayar konduktor, supaya mesej elektrik dapat dihantar dengan efisien tanpa kebocoran.
Kajian pengimejan mendapati white matter dalam otak ADHD tidak sebanyak otak neurotipikal. Ini menyebabkan mesej tidak dapat dihantar dengan baik dan menjejaskan fungsi kognitif.
Gangguan koordinasi dalam ritma otak
Kajian menunjukkan bahawa apabila otak kita tidak digunakan untuk berfikir dan menumpu pada sesuatu tugasan (Task-Positive Network, TPN), otak tidak ditutup sepenuhnya, tetapi masuk ke zon Default Mode Network (DMN).
Semasa di DMN inilah minda sedar (conscious mind) menerawang tanpa fokus, dan minda tidak sedar (unconscious mind) mengorganisasi serta mengintegrasi maklumat. Banyak ilham dan idea kreatif muncul ketika otak dalam DMN.
Namun, otak individu dengan ADHD tidak berkoordinasi dengan baik antara DMN dan TPN. Mereka sukar menyahaktifkan DMN semasa melakukan aktiviti yang memerlukan fokus.
Kelewatan dalam perkembangan otak
Fungsi eksekutif dikawal oleh bahagian paling depan otak yang dipanggil prefrontal cortex. Bahagian ini paling lambat berkembang, mengambil masa lebih kurang 25 tahun untuk matang sepenuhnya.
Bagi kanak-kanak dengan ADHD, kajian menunjukkan perkembangan prefrontal cortex 3 hingga 5 tahun lebih lewat berbanding kanak-kanak neurotipikal, walaupun struktur otak yang lain berkembang seperti biasa.
Kelewatan ini membuatkan individu dengan ADHD kelihatan kurang matang ketika usia kanak-kanak dan remaja, terutamanya dari aspek pengurusan emosi dan kawalan impuls. Menjelang usia lewat 20-an, perkembangan prefrontal cortex mereka mula setara dengan individu neurotipikal. Namun, ini kadangkala terlambat kerana pembelajaran, hubungan, dan keyakinan diri mereka mungkin telah terjejas.
Keseimbangan kimia otak
Yang dimaksudkan dengan ketidakseimbangan kimia di sini bukanlah kekurangan neurotransmitter (kimia otak untuk menghantar mesej antara neuron). Otak ADHD menghasilkan dopamine dan norepinephrine secukupnya seperti otak neurotipikal.
Cabarannya berlaku di synapse, iaitu jurang antara neuron: neurotransmitter tidak dilepaskan dan dimuat semula dengan baik. Sebelum sempat mesej dihantar ke neuron seterusnya, neurotransmitter sudah diserap semula ke tempat asalnya.
Sebab itulah ubat stimulan ADHD berfungsi untuk menutup dopamine transporter (DAT) dan norepinephrine transporter (NAT), supaya dopamine dan norepinephrine tidak diserap terlalu cepat dan dapat berlegar di synapse dalam tempoh yang optimal.
Untuk perbincangan lebih lanjut tentang koordinasi DMN dan TPN serta strategi praktikal, baca artikel susulan kami: Koordinasi DMN & TPN Dalam Otak ADHD.

Rujukan
- Brown, T. E. (2014). Smart but Stuck: Emotions in Teens and Adults with ADHD. Jossey-Bass.
Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.