Koordinasi DMN & TPN Dalam Otak ADHD

Dalam artikel sebelum ini, kami menyentuh salah satu punca perbezaan fungsi otak dalam kalangan individu ADHD, iaitu gangguan koordinasi dalam ritma otak.
Semasa kita fokus pada sesuatu tugasan, otak berada dalam Task-Positive Network (TPN). TPN digunakan untuk menyelesaikan masalah (problem solving), memberi perhatian khusus (focusing of attention), membuat keputusan (decision making), dan mengawal tindakan (action control).
Bagi individu neurotipikal, apabila TPN diaktifkan, Default Mode Network (DMN) dinyahaktif, dan sebaliknya. Ini kerana hubungan antara TPN dan DMN bersifat antagonistik. DMN ibarat screensaver pada komputer anda: ia muncul apabila sistem tidak digunakan secara aktif.
Namun bagi individu dengan ADHD, semasa TPN aktif, DMN juga turut aktif. Apabila DMN aktif, TPN pula dinyahaktif. Ini menyukarkan individu ADHD untuk kekal dalam zon TPN, lalu hilang fokus dan fikiran menerawang. Adakalanya badan bergerak secara automatik tanpa sedar (auto-pilot mode), dan ini meningkatkan risiko kemalangan ketika memandu.
DMN digunakan untuk kesedaran emosi kendiri (emotional self-awareness), kognitif sosial (social cognition), kreativiti (creativity), dan membuat keputusan beretika (ethical decision making).
Apabila otak terlalu menjurus ke DMN
Jika otak terlalu menjurus pada DMN, kita boleh masuk ke satu keadaan yang dipanggil brooding. Brooding ialah terlalu memikirkan perkara yang telah berlalu atau terlalu risau tentang perkara yang belum tentu berlaku, sehingga seseorang itu hilang motivasi untuk bertindak.
Mengikut saranan Dr Edward Hallowell dan Dr John Ratey dalam buku mereka ADHD 2.0, untuk keluar dari belenggu brooding, seseorang perlu melakukan apa sahaja yang memfokuskan deria pada sensasi luaran (external sensation), seperti menari, menyanyi sambil berdiri atas satu kaki, atau bermain dengan haiwan peliharaan. Ini memaksa otak beralih daripada DMN ke TPN.
Bersenam dan mindfulness meditation juga membantu.
Tip 1: Jika anda rasa bersenam itu menyusahkan kerana memerlukan pakaian sukan dan masa yang lama, mulakan dengan senaman ringkas seperti radio taisō, iaitu senaman 3 minit yang telah disiarkan di radio Jepun sejak 1928. Anda boleh mengikut gerakannya di YouTube walaupun hanya berbaju tidur.
Tip 2: Berlawanan dengan meditasi yang memerlukan kita mengosongkan fikiran (DMN), mindfulness meditation memerlukan kita fokus pada deria seperti kadar pernafasan dan degupan jantung (TPN). Mindfulness tidak terhad pada meditasi. Sebarang aktiviti yang memerlukan fokus boleh membantu otak keluar daripada DMN. Contohnya, makan gula-gula sambil memejam mata, dan fokus pada rasa serta pergerakannya di dalam mulut.
Rujukan
- Hallowell, E. M., & Ratey, J. J. (2021). ADHD 2.0: New Science and Essential Strategies for Thriving with Distraction. Ballantine Books.
Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.