Diagnosis Journey

Kenali ADHD

“Anak puan mempunyai masalah untuk fokus di dalam kelas, suka bermain, kacau kawan, dan kadang-kadang mengelamun jauh.”

Apabila guru memberitahu tentang tingkah laku anak kita yang kurang menyenangkan di dalam kelas, kita mungkin berasa marah atau malu. Ada juga ibu bapa yang mengambil sikap endah tak endah, beranggapan bahawa kanak-kanak memang nakal dan masalah ini akan hilang apabila mereka meningkat usia.

Hati-hati. Periksa baik-baik. Anak anda mungkin mempunyai ADHD.

Apa itu ADHD?

ADHD ialah singkatan kepada Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Ia merupakan keadaan neurodevelopmental yang berkaitan dengan cara otak menerima dan menghantar maklumat. Individu dengan ADHD kebiasaannya menghadapi cabaran untuk memberi tumpuan, mengawal tingkah laku (impulsif), dan kadangkala menunjukkan hiperaktiviti.

Tiga presentation ADHD

ADHD dikategorikan kepada tiga presentation:

1. Inattentive (kurang daya tumpuan) Kanak-kanak dengan presentation ini sukar memberi perhatian. Di dalam kelas, mereka cenderung mengelamun dan melihat sekeliling berbanding mendengar pengajaran guru.

2. Hyperactive-Impulsive (hiperaktif-impulsif) Kanak-kanak yang hiperaktif sentiasa mahu bergerak. Mereka sukar duduk diam, suka menggerakkan anggota badan, dan banyak bercakap. Sifat impulsif pula membuatkan mereka sukar bersabar, sukar menunggu giliran, dan kerap mengganggu orang lain kerana dorongan untuk bertindak sangat kuat.

3. Combined (gabungan) Gabungan kedua-dua ciri di atas. Kanak-kanak dengan presentation ini kadangkala dilihat sebagai sangat nakal, walhal tingkah laku mereka berkait rapat dengan cara sistem saraf otak mengawal proses kognitif.

Sebagai ibu bapa, penting untuk mengenal pasti keadaan ini dari awal supaya potensi anak dapat dikembangkan dengan sewajarnya. Anak dengan ADHD yang tidak dibantu dari awal berisiko ketinggalan dalam banyak perkara, dan cabaran ini boleh berlanjutan hingga dewasa kerana ADHD tidak hilang dengan peningkatan usia.

ADHD dan pembelajaran di dalam kelas

Individu dengan ADHD sukar memberi tumpuan, sama ada di dalam kelas atau dalam perbualan. Fikiran mereka mudah menerawang.

Ketika disoal, mereka mungkin tidak dapat menjawab kerana tiba-tiba terlupa, sama seperti kita yang kadangkala terlupa tujuan ketika asyik mencari sesuatu. Bagi kebanyakan orang ini perkara biasa, tetapi bagi individu dengan ADHD ia berlaku jauh lebih kerap.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak dengan ADHD mungkin tahu jawapan ketika mengangkat tangan, tetapi apabila tiba giliran untuk menjawab, idea itu tiba-tiba hilang. Oleh itu, mereka sering dikatakan mempunyai potensi tinggi yang tidak digunakan sepenuhnya.

Mereka kelihatan mampu mencapai keputusan lebih cemerlang jika lebih serius. Hakikatnya, bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi cara otak mereka memproses maklumat memang berbeza. Sebahagian individu memerlukan bantuan rawatan untuk mengurus cabaran ini.

Kesimpulan

Dengan diagnosis awal, potensi anak dengan ADHD dapat dikembangkan. Ibu bapa boleh meringankan cabaran dengan memahami ADHD dengan lebih mendalam dan mempelajari cara menyokong anak mereka.

Jika anda mengesyaki diri atau anak anda mempunyai ADHD, anda boleh mulakan dengan saringan ADHD percuma kami, atau lawati direktori klinik kami untuk mencari pakar di seluruh Malaysia.

Rujukan

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.