Mengapa sesetengah individu ADHD rasa penat dan mengantuk selepas ambil ubat stimulan?

Pernah tak anda terfikir, mengapa sesetengah individu ADHD rasa sangat penat dan mengantuk selepas ambil ubat stimulan? Sepatutnya ubat ini bagi tenaga, kan?
Sebenarnya, dopamine (sejenis neurotransmitter atau bahan kimia otak yang selalu kita kaitkan dengan motivasi dan tenaga) boleh memberi kesan yang terbalik kalau parasnya terlalu tinggi. Di penghujung artikel ini dikongsikan 5 langkah praktikal untuk membantu anda capai tahap keseimbangan dopamine yang ideal.
Sebelum itu, dalam artikel ini kita akan belajar tentang:
- Perbezaan antara tonic dopamine dan phasic dopamine.
- Prinsip Goldilocks dan mengapa lebih banyak dopamin tidak bermaksud lebih fokus.
- Safety break otak yang boleh membuatkan individu ADHD tertidur.
- Lima strategi untuk kekal cergas (mental dan fizikal) tanpa mengalami crash.
- Bagaimana hutang adenosin boleh sabotaj tenaga secara terselindung walaupun dopamin tinggi.
Asas dopamin: Tonic vs. Phasic
Tonic: Merujuk kepada pelepasan/rembesan dopamin secara berterusan dalam amaun yang sedikit untuk mengekalkan baseline dalam otak. Ia memastikan prefrontal cortex kita kekal online dan berfungsi. Bayangkan ia sebagai gelombang yang stabil yang bertujuan mengekalkan fokus secara berterusan.
Phasic: Merujuk kepada pelepasan/rembesan dopamin dalam kadar yang banyak dan drastik sebagai tindak balas kepada peristiwa tertentu (contohnya, bila terima ganjaran atau terlihat isyarat ganjaran). Bayangkan ia sebagai lonjakan (burst) yang bertujuan menarik perhatian dan memberitahu kita “Ini penting!”
Tonic dopamine mengekalkan kestabilan fokus, manakala phasic dopamine ibarat “ping” yang menggerakkan kita. Tetapi, jika lonjakan phasic dopamine berlaku terlalu kuat dan terlalu kerap, sistem akan shut down. Otak akan putuskan sambungan dan lindungi diri kita daripada overload.
Prinsip Goldilocks dopamin
Sama seperti bubur dalam kisah Goldilocks, ia perlu sedang-sedang elok, begitu juga dengan dopamin:
- Terlalu rendah: Rasa lesu.
- Sedang elok: Boleh peka, fokus, dan berada dalam flow.
- Terlalu tinggi: Tidak boleh fokus, rasa gelisah, atau secara paradoksnya rasa penat dan mengantuk.
Mengapa ini berlaku? Kerana otak mempunyai “suis keselamatan”. Apabila paras dopamin melonjak terlalu tinggi (melebihi tahap optimum), ia mula mengaktifkan dua jenis reseptor dalam otak iaitu:
- D2 autoreceptors: Bertindak sebagai pedal brek dan memberitahu neuron dopamin, “Cukup! Hentikan pelepasan!”
- Alpha-2A receptors: Bertindak sebagai pemutus litar yang mengawal kewaspadaan dan tumpuan. Apabila lonjakan dopamin terlalu kuat, reseptor ini mematikan sistem untuk mengelakkan rangsangan berlebihan.
Akibatnya, sistem shut down lalu menyebabkan kesan yang bertentangan iaitu rasa tidak bertenaga.
Inilah sebabnya mengapa sesetengah individu ADHD menguap dalam masa 30 minit selepas mengambil ubat stimulan (yang meningkatkan dopamin secara mendadak). Otak mereka telah mengaktifkan sistem perlindungan ini untuk mengembalikan keseimbangan, tapi kesannya adalah rasa letih melampau.
Safety break otak yang membuatkan rasa mengantuk
Terdapat satu lagi faktor, kebanjiran dopamin juga menyekat dua sistem otak yang memastikan kita terjaga:
- Orexin: Dihasilkan di hipotalamus lateral. Bertindak memastikan kita tidak tertidur secara tiba-tiba atau beralih antara keadaan sedar dan tidur secara tidak stabil. Kekurangan orexin (atau kerosakan neuron yang menghasilkannya) inilah punca utama penyakit narcolepsy pada manusia.
- Histamin: Dihasilkan di nukleus tuberomamilari. Bertindak meningkatkan kewaspadaan melalui pengaktifan reseptor H1. Inilah sebabnya mengapa ubat anti-alahan (antihistamin) generasi lama yang menyekat reseptor H1 ini menyebabkan rasa mengantuk yang kuat.
Kedua-duanya pemacu semula jadi otak untuk kekal jaga. Tetapi apabila dopamin dan noradrenalin melonjak terlalu tinggi, mereka menghantar isyarat untuk mematikan sistem ini_._
Hasilnya? Rasa wired and tired, overstimulated and exhausted.
Peranan adenosin
Setiap kali neuron menyala, ia membakar ATP (adenosin trifosfat). Bayangkan ATP sebagai mata wang tenaga otak. Apabila ATP terurai, adenosin terkumpul.
Walaupun dopamin tinggi, tetapi jika adenosin lebih tinggi, kita akan rasa letih dan foggy.
Kafein bertindak dengan menyekat adenosin tetapi apabila kesannya hilang, crash yang berlaku lebih teruk kerana adenosin telah terkumpul banyak tanpa kita sedar.
Contohnya, pesakit yang dos nya sentiasa dinaikkan semata-mata kerana mereka crash pada waktu petang. Lama-kelamaan, mereka crash lebih awal.
5 cara mencapai tahap optimum (sweet spot)
Berikut adalah lima strategi untuk elakkan keletihan akibat stimulan:
1. Ratakan lonjakan. Tukar daripada pelepasan segera (immediate-release) kepada bentuk bertindak lama (long-acting). Ubat bertindak lama bermaksud kurang kenaikan paras dopamin mendadak.
2. Isi semula tangki. Elemen penting di sini ialah ferritin. Pastikan ujian zat besi dilakukan dan paras ferritin kekal di atas 75 mikrogram seliter. Amalkan sarapan yang kaya dengan tyrosine (sejenis asid amino) dan kekal terhidrat.
3. Selaraskan dengan jam badan. Ambil dos awal sebaik-baiknya dalam masa 30 minit selepas bangun tidur, dan elakkan lonjakan pada lewat hari.
4. Tambah tonic, bukan phasic. Jika penambahan ubat dipertimbangkan, tambah agen tonic. Ini boleh termasuk bukan-stimulan seperti clonidine, guanfacine, atomoxetine, dan dalam sesetengah kes, armodafinil.
5. Ubah perspektif. Dopamin bukan sekadar memberi tenaga, ia juga mengawal selia berapa banyak tenaga yang dibenarkan. Terlalu sedikit, kita rasa susah nak mula. Terlalu banyak, sistem akan shut down untuk survive. Ingat, ini bukan tentang rangsangan (stimulation) tapi tentang kestabilan (stability).
Sebarang perubahan dos, masa, atau jenis ubat perlu dibincangkan dengan pakar yang merawat anda, bukan diubah sendiri. Untuk gambaran lebih luas tentang pilihan rawatan ADHD, baca Punca dan Rawatan ADHD, dan cari pakar berdekatan melalui direktori klinik kami.
Rujukan: When Dopamine Backfires: Why Too Much Can Make You Tired