Diagnosis Journey

ADHD Dewasa: Perlukah Saya Dapatkan Diagnosis?

Individu dewasa dengan simptom ADHD selalunya berasa berbeza daripada orang lain. Antara cabaran yang dialami termasuk kesukaran menumpukan perhatian, sukar duduk diam, atau sukar mengawal keterujaan. Mereka juga sering meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri, dan mudah kecewa serta mengkritik diri apabila gagal mencapainya.

Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri: mengapa saya ada simptom ini? Adakah ini ADHD? Perlukah saya mendapatkan diagnosis?

Jika ini soalan yang bermain di fikiran anda, artikel ini untuk anda. (Belum pasti apa itu ADHD? Baca dahulu Apa itu ADHD?.)

Rasa macam normal je masalah saya ni?

Bukan semua orang yang pelupa atau hilang fokus mempunyai ADHD. Yang membezakan adalah apabila simptom berlaku secara konsisten dan mengganggu kehidupan harian dalam pelbagai aspek seperti kerja, pelajaran, hubungan, dan kesihatan emosi.

Jika rutin harian anda terganggu sehingga sukar menyelesaikan kerja, kerap berasa resah, atau sukar tidur secara berterusan, itu petanda untuk mendapatkan pertolongan. Cabaran ADHD dewasa yang tidak dikenal pasti boleh berlarutan dan menjejaskan banyak aspek kehidupan, seperti yang kami kongsikan dalam Cabaran ADHD Dewasa.

Langkah pertama yang mudah dan percuma adalah mengambil saringan ADHD kami, iaitu soal selidik ringkas berdasarkan ASRS. Hasilnya bukan diagnosis, tetapi boleh membantu anda memutuskan sama ada wajar berjumpa pakar.

Kenapa diagnosis membantu

Diagnosis rasmi bukan sekadar label. Ia boleh menjadi titik perubahan:

  • Memahami diri. Akhirnya ada penjelasan untuk cabaran yang anda alami selama ini. Banyak perkara yang dahulu terasa seperti kelemahan peribadi mula masuk akal.
  • Berhenti menyalahkan diri. Ramai dewasa dengan ADHD membesar dengan dilabel pemalas atau tidak cukup berusaha. Diagnosis membantu menggantikan rasa bersalah dengan belas kasihan terhadap diri.
  • Akses kepada rawatan dan strategi. Dengan diagnosis, anda boleh mula meneroka rawatan, terapi, dan strategi yang sesuai untuk anda.
  • Mengesan keadaan lain. Penilaian turut membantu mengenal pasti komorbiditi seperti anxiety atau depresi yang kerap wujud bersama ADHD.

Menangani rasa takut dan halangan

Adalah normal untuk teragak-agak. Antara kebimbangan yang biasa:

  • “Macam mana kalau saya sebenarnya tidak ada ADHD?” Itu pun keputusan yang berguna. Penilaian boleh mengenal pasti sebab sebenar cabaran anda, sama ada ADHD atau keadaan lain yang juga boleh dirawat.
  • Takut dilabel atau stigma. Diagnosis adalah maklumat peribadi anda. Ia alat untuk memahami diri, bukan untuk menghukum. Anda berhak menjaga kesihatan mental tanpa rasa malu.
  • Kos dan akses. Di Malaysia, klinik kerajaan lebih berpatutan tetapi mungkin mempunyai senarai menunggu yang panjang, manakala klinik swasta lebih cepat tetapi berkos lebih tinggi. Jika belum mampu berjumpa pakar sekarang, itu tidak mengapa. Memahami ADHD adalah langkah pertama yang sah, dan anda boleh bergerak mengikut kemampuan anda.

Bagaimana proses diagnosis di Malaysia

Langkah pertama ialah berjumpa mana-mana doktor, sama ada di klinik kerajaan atau swasta, untuk mendapatkan surat rujukan. Kemudian bawa surat itu berjumpa pakar psikologi atau psikiatri. Hanya pakar yang boleh mengesahkan sama ada anda mempunyai ADHD atau keadaan kesihatan lain.

Pakar akan membuat penilaian menyeluruh. Mereka akan bertanya tentang kehidupan anda dari kecil hingga dewasa, dan menilai simptom berdasarkan DSM-5 (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) sebelum mengesahkan diagnosis. Anda boleh mencari pakar berdekatan melalui direktori klinik kami.

Selepas diagnosis

Diagnosis ialah permulaan, bukan penamat. Pelan rawatan biasanya menggabungkan ubat, terapi, dan perubahan gaya hidup, dan disesuaikan mengikut keperluan anda. Memandangkan individu ADHD dewasa kerap mengalami komorbiditi, keadaan lain seperti anxiety dan depresi juga boleh dirawat serentak. Kami terangkan pilihan rawatan dengan lebih lanjut dalam Punca dan Rawatan ADHD.

Sokongan orang terdekat juga penting. Pakar mungkin meminta anda membawa pasangan atau ahli keluarga ke sesi perjumpaan, kerana pemahaman dan dorongan daripada mereka memberi kekuatan dalam perjalanan ini.

Kesimpulan

Otak individu dengan ADHD sentiasa aktif, dan orang sekeliling sering tidak menyedari cabaran yang dilalui kerana individu itu masih kelihatan berfungsi seperti biasa. Sekiranya simptom mengganggu kualiti hidup anda, tidak rugi untuk mendapatkan kepastian. Diagnosis boleh membuka pintu kepada pemahaman, sokongan, dan kehidupan yang lebih selesa.

Mulakan dengan saringan ADHD percuma kami, atau cari pakar melalui direktori klinik kami.

Rujukan

Ada kisah & pengalaman ADHD yang hendak dikongsi? Hantarkan artikel anda di sini.